Hak Kanak-Kanak Amanah Orang Dewasa

DEWASA ini ramai yang memperkatakan hak kanak-kanak. Kanak-kanak perlu dilayan dengan baik kerana itu hak mereka. Kanak-kanak berhak memilih untuk tinggal dengan siapa selepas ibu bapa bercerai kerana itu hak mereka. Mendera kanak-kanak adalah jenayah dan ia melanggar hak kanak-kanak.

Kanak-kanak perlu diberi nafkah kerana itu hak mereka dan sebagainya. Kerajaan juga prihatin dengan hak kanak-kanak di Malaysia. Apakah sebenarnya yang dikatakan hak kanak-kanak? Soalan paling asas yang perlu difahami ialah apakah kanak-kanak mempunyai hak terhadap sesuatu dalam hidup ini?
Ramai ahli teori berbeza pendapat sama ada kanak-kanak ini sebenarnya ada hak atau tidak. Mereka berbeza pendapat dalam menilai hak anak dan hubung kait dengan kebajikan, kepentingan, tanggungjawab dan hukuman. Perbincangan seperti bolehkah kanak-kanak mempunyai hak sedangkan mereka sendiri perlukan orang lain untuk mendapatkan hak itu?

Bolehkah kanak-kanak mempunyai hak jika mereka sendiri sangat muda dan tidak mampu untuk membuat sesuatu yang menunjukkan balasan kepada hak dan tanggungjawab sendiri?

Pemikir liberationists contohnya Halt, percaya kanak-kanak tanpa mengira usia mesti dilayan seperti orang dewasa. Mereka berhak kepada semua perkara seperti orang dewasa.

Contohnya mereka mempunyai hak untuk memilih, mengundi, untuk bekerja, mendapat duit hasil kerja, menjual beli, memilih pendidikan dan sebagainya.
Pendapat ini sangat liberal dan melihat kanak-kanak seperti orang dewasa, yang berhak melakukan apa saja dalam hidup. Bahkan sebagai orang dewasa, kita perlu membiarkannya dan menghormati apa saja kehendak dan pilihan kanak-kanak.

Pada masa sama, ada aliran pemikiran yang berlawanan mengatakan kanak-kanak tidak mempunyai sebarang hak. Mereka tidak mampu untuk membuat pilihan dan tidak mampu melaksanakan apa yang dikatakan kemampuan memilih dan melaksanakan hak. Justeru, ia bermaksud kanak-kanak tidak mempunyai sebarang hak dan orang dewasa yang berkuasa mutlak menentukan, menyediakan serta membuat keputusan untuk kanak-kanak.

Islam menyentuh isu hak kanak-kanak sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi. Pendekatan diambil oleh Islam sangat unik dan ia adalah jalan pertengahan di antara dua teori yang dibincangkan terdahulu. Islam mengiktiraf bahawa kanak-kanak adalah makhluk Allah yang mempunyai hak tertentu dalam hidup ini dan meletakkan tanggungjawab pada orang dewasa untuk melaksanakan dan menjayakan agar hak kanak-kanak diberikan kepada mereka.

Islam menyuruh bapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak, menyediakan makanan sesuai, memberi nama yang baik, mendidik mereka dengan adab yang baik, mengajar ilmu agama adalah gambaran kepada pengiktirafan Islam terhadap hak kanak-kanak.

Bahkan, seorang profesor dari Yaman, Dr Saleh al-Dhubyani, menyebut bahawa apabila ibu mengandung diberi keringanan untuk berbuka puasa, dilarang daripada mengambil ubat-ubatan yang membahayakan kandungan atau menggugurkan kandungan tanpa alasan dibenarkan syarak, adalah bukti walaupun kanak-kanak belum lahir, Islam sudah meraikan hak mereka.

Teori hak ini dikembangkan dan akhirnya diraikan dengan rasmi melalui konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR) pada 1989. UNCHR 1989 membincangkan apakah hak kanak-kanak yang perlu dipertahankan.

Negara kita Malaysia menandatangani konvensyen ini pada 28 Disember 1994 dan mengguna pakai pada 7 Februari 1995.

Antara peruntukan besar dalam UNCHR seperti Artikel 27 ialah ibu bapa atau sesiapa saja yang bertanggungjawab terhadap kanak-kanak bertanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan kanak-kanak dalam kemampuan dan kapasiti mereka untuk menyediakan satu kehidupan yang wajar untuk perkembangan kanak-kanak.

Peruntukan ini menerangkan bahawa kanak-kanak mempunyai hak untuk dibesarkan dalam suasana keluarga dan ibu bapa mesti memperuntukkan sebahagian kewangan untuk menjayakan hak berkenaan kepada kanak-kanak.

Ibu bapa wajib menyediakan dalam kemampuan mereka, membelanjakan pada tahap kemampuan kewangan mereka membiayai hidup kanak-kanak supaya mereka dapat membesar dengan sejahtera. Itu adalah antara hak kanak-kanak. UNCHR juga melihat keluarga sebagai kelompok terpenting tempat kanak-kanak hidup dengan selesa dan dapat membesar dengan baik. Hak anak diiktiraf dan ibu bapa bertanggungjawab memastikan ia dilaksanakan dengan baik.

Pada masa sama, apabila ibu bapa gagal menjaga kesejahteraan kanak-kanak, gagal memberi bantuan kewangan menjayakan tumbesaran dan kehidupan yang baik untuk kanak-kanak, maka kerajaan perlu campur tangan dan membantu menjayakan hak kanak-kanak itu.

Ia dapat dilihat melalui Artikel 27.3 yang menyebut antara lain bahawa kerajaan perlu membantu ibu bapa untuk menunaikan hak kanak-kanak itu terutama membabitkan bantuan material dan makanan, pakaian dan penempatan. Tanggungjawab kerajaan adalah membantu apabila ibu bapa gagal menyediakan kerana tidak berdaya, tidak berupaya dan bukan mengganti tugasan ibu bapa.

Isu yang berlaku di negara kita membabitkan kebajikan kanak-kanak adalah perkara besar yang mesti diketengahkan.

Tuntutan nafkah kanak-kanak selepas ibu bapa bercerai dinafikan oleh bapa yang lari daripada tanggungjawab dan statistik kanak-kanak luar nikah yang tinggi lahir di Malaysia adalah isu besar kerana hak kanak-kanak.

Hak mereka untuk mendapat kehidupan yang baik dinafikan dan mereka mungkin akan terabai dalam menghadapi tumbesaran yang sesuai. Kita perlu bangun untuk menyediakan ruang yang baik untuk hak kanak-kanak ini.

Penulis ialah Profesor Madya di Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam, sedang melanjutkan pengajian PhD bidang Undang-Undang Keluarga di La Trobe University, Melbourne, Australia

0 ulasan:

Laman Sahabat

Bicara UKHUWWAH

ShoutMix chat widget

Followers

About Me

Foto Saya
ibnu qais
Dilahir di Kampung tercinta di Desa Permai Pagut pada tanggal 18 Mei 1986 pada jam 08.55pm bersamaan 9 Ramadhan 1406 Hijrah iaitu jatuh pada hari Ahad. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Agama (Arab) Al-Ittihadiah Tanjung Pagar, Ketereh.Kemudian melanjutkan ke pengajian menengah di Sekolah Menengah Agama (Arab) Darul Aman, Kok Lanas dari 1999-2002, sekarang dikenali Ma'had Tahfiz Sains Nurul Iman. Setelah itu saya berhijrah ke Sekolah Menengah Agama (Arab) Azhariah, Melor. Setelah tamat, saya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat diploma bidang syariah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS),Kelantan (2005-2008) dan sekarang melanjutkan pengajian sarjana di Universitas Islam Negeri Ar-Raniry, Nanggroe Acheh Darussalam, Republik Indonesia,dalam Fakultas Syariah Jurusan Ahwalul Syakhsiyyah(Hukum Keluarga Islam). Sebarang pandangan emailkan kepada yiez_almaqdisi@yahoo.com @ ibnqais@gmail.com.
Lihat profil lengkap saya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ultimos Comentarios

 
Copyright © Jalan Yang Lurus