DI antara kita adalah pemimpin sama ada untuk komuniti kecil seperti di organisasi, jabatan, kawasan atau keluarga.
Pemimpin ialah orang memimpin dan diikuti, manakala kepemimpinan ialah mekanisme yang menjadi sumber utama melahirkan proses untuk mengubah sikap dan pandangan.
Nabi Muhammad s.a.w contoh pemimpin terbaik dalam semua lapangan, daripada institusi keluarga, kepemimpinan negara, model kepada orang Islam dan bukan Islam.
Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, Datuk Dr Ismail Ibrahim, berkata kepemimpinan dalam Islam adalah amanah Allah.
Beliau berkata, pemimpin wajip memandu pengikutnya, melindungi dan mengendalikan urusan mereka dengan adil dan saksama menurut lunas diredai Allah.
"Pemimpin harus mendidik dirinya terlebih dahulu, sebelum mendidik pengikutnya, meningkatkan moral dan akhlaknya terlebih dulu sebelum memperbetulkan orang lain," katanya di syarahan umum bertajuk Kepimpinan Dunia Islam: Krisis dan Cabaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.
Dalam konteks Islam, pemimpin bertanggungjawab memimpin manusia daripada kehancuran dan maksiat kepada keredaan Allah.
Jika gagal, berlakulah kerosakan yang bertimpa-timpa. Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin menegaskan 'rakyat rosak akibat rosaknya pemerintah dan pemerintah jadi rosak akibat daripada kehadiran ulama yang buruk.
Dr Ismail berkata, Islam menggariskan banyak prinsip dalam kepemimpinan, antaranya ialah pemimpin seharusnya kuat dalam akidah, adil dan jujur, berpandangan luas dan tidak fanatik pada golongan tertentu.
"Pemimpin perlu berpengetahuan dan memiliki kemampuan dalam bidang dipimpin, amanah, telus dan tidak mementingkan diri.
"Kegagalan kepemimpinan akan berlaku jika pemimpin bersikap individualistik, materialistik, taksub dan fanatik kepada golongan, tidak berilmu dan tidak beramanah," katanya.
Kepemimpinan Islam katanya, menghadapi cabaran besar dalam arus penjajahan Barat, proses globalisasi, dominasi teknologi maklumat dan komunikasi ke atas dunia moden, dasar langit terbuka dan kebergantungan pemimpin Islam kepada kuasa besar dunia demi kepentingan diri.
"Penjajahan masih berada di dalam dunia Islam kerana dunia Islam mempunyai kekayaan kurniaan Allah sehingga melahirkan peperangan salib petrol.
"Dunia Islam menghadapi peperangan dengan dasar yang dikenali sebagai Pertembungan Peradaban.
"Akibatnya Perang Dunia Keempat sedang berlaku kini di antara dunia Islam dan Barat," katanya.
Menurutnya, imej Islam mutakhir ini sangat tercemar, malah bagi bukan Islam, mereka dipanggil pengganas.
"Justeru, kita perlu kepemimpinan seimbang, dasar sendiri dan jangan radikal dalam semua hal termasuk menjaga imej supaya tidak terlalu ekstrim," katanya.
referensi :
http://www.hmetro.com.my/
0 ulasan:
Catat Ulasan