Memahami Maksud Iddah

Persoalan mengenai iddah jarang diperkatakan dengan anggapan ramai yang tahu mengenainya, tetapi yang nyata masih ada kurang faham sehingga keadaan menjadi keliru.


Menurut kitab fiqah, iddah ialah waktu menunggu yang diwajibkan ke atas wanita yang diceraikan, sama ada cerai hidup atau cerai mati, bagi mengetahui sama ada empunya diri hamil atau tidak. Bagi wanita hamil, iddahnya sehingga lahir anak dikandungnya itu, baik cerai mati atau cerai hidup.


"Dan perempuan mengandung, tempoh iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya." (Surah at-Talaq: 4)


Wanita tidak hamil, ada ketikanya bercerai mati dan bercerai hidup. Bagi yang bercerai mati, iddahnya empat bulan sepuluh hari.


"Dan orang yang meninggal dunia antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari." (Surah al-Baqarah: 234)


Jika diperhatikan, ayat 4 surah at-Talaq umum membabitkan cerai hidup dan cerai mati apabila hamil iddahnya sehingga lahir anak dan ayat 234 surah al-Baqarah juga umum membabitkan wanita hamil dan tidak apabila bercerai mati iddahnya empat bulan sepuluh hari. Di sini wujud sedikit perselisihan faham mengenai wanita bercerai mati sedangkan dirinya hamil, manakala anaknya lahir sebelum cukup empat bulan sepuluh hari dari tarikh suaminya meninggal. Apakah iddahnya tamat dengan melahirkan anak walaupun belum cukup tempoh empat bulan sepuluh hari dari tarikh suaminya meninggal kerana berdasarkan umumnya ayat pertama di atas?


Haruskah idahnya dicukupkan juga empat bulan sepuluh hari kerana berdasarkan ayat yang kedua? Menurut jumhur ulama salaf (terdahulu), iddahnya ialah lahir anaknya walaupun belum cukup empat bulan sepuluh hari. Tetapi menurut pendapat lain yang diriwayatkan daripada Ali, iddahnya mesti mengambil yang lebih panjang. Walaupun anaknya lahir lebih awal, iddahnya harus menunggu sehingga empat bulan sepuluh hari.


Menurut pendapat itu, jika sampai tempoh empat bulan sepuluh hari, tetapi anak yang dikandungnya belum lahir, iddahnya harus menunggu sehingga bersalin. Selain itu, ada perbezaan pendapat mengenai iddah wanita hamil.


Imam Syafie berpendapat iddah wanita terbabit dengan lahirnya anak dikandung apabila anak itu dari suami yang menceraikannya. Tetapi jika anak bukan dari suami yang menceraikannya, wanita terbabit tidak beriddah dengan kelahiran anak.


Pendapat Abu Hanifah, perempuan itu harus beriddah dengan lahir anaknya, baik anak itu anak daripada suami yang menceraikannya atau bukan, walau anak zina sekalipun. Iddah bagi wanita bercerai hidup dengan suaminya ialah tiga kali suci sekiranya dia mempunyai haid.


"Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid)." (Surah al-Baqarah: 228)


Mengira tiga kali suci itu tidak dicampuri suaminya, dengan suci sewaktu perceraian dikira satu kali suci. Tetapi jika dalam suci waktu perceraian itu dicampuri, dikira tiga kali suci mulai suci dari haid pertama selepas perceraian. Demikian juga perceraian yang berlaku ketika haid, dikira tiga kali suci dari suci selepas haid yang berlaku sewaktu perceraian. Keadaan terbabit sekali gus menyebabkan iddah bagi seseorang wanita lebih panjang. Oleh kerana itu, adalah dilarang suami menceraikan isteri dalam keadaan haid dan suci yang sudah dicampuri. Isteri yang diceraikan suaminya sebelum dicampuri tiada iddah (tidak perlu beriddah).


"Kemudian kamu talak mereka itu sebelum kamu campuri, maka tidaklah mereka beriddah." (Surah al-Ahzab: 49)


Tetapi bagi wanita yang tiada haid, iddahnya tiga bulan. "Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh iddah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan..." (Surah at-Talaq: 4)


Perempuan yang tiada haid ada tiga golongan; iaitu yang masih kecil (belum sampai umur), sudah sampai umur, tetapi belum pernah haid dan orang tua yang sudah keputusan atau monopos haid. Wanita beriddah tidaklah boleh dibiarkan begitu saja, malah mereka masih mempunyai hak daripada bekas suaminya, seperti tempat tinggal (rumah), pakaian dan segala perbelanjaan. Mereka ialah wanita yang taat dalam iddah rajiyah (boleh dirujuk), kecuali isteri derhaka, tidak berhak menerima apa-apa. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Dari Fatimah binti Qais, berkata Rasulullah s.a.w kepadanya: 'Perempuan yang berhak mengambil nafkah dan rumah kediaman daripada bekas suaminya itu apabila bekas suaminya itu berhak rujuk kepadanya.'"

(Hadis riwayat Ahmad dan Nasai)


Wanita dalam iddah ba’in (tidak boleh dirujuk) jika hamil juga berhak mendapatkan kediaman, nafkah dan pakaian.


"Jika mereka (janda yang dicerai) mengandung, maka beri nafkahlah olehmu sampai lahir kandungannya." (Surah at-Talaq: 6)


Sementara wanita yang dicerai secara ba’in, tetapi tidak hamil, sama ada ba’in dengan tebus talak mahupun dengan talak tiga, mereka hanya berhak mendapatkan tempat tinggal.

"Tinggalkanlah mereka di tempat kediaman yang sepadan dengan keadaan kamu." (Surah at-Talaq: 6)


Bagaimanapun, sesetengah ulama berpendapat, wanita dicerai secara talak ba’in yang tidak hamil tidaklah berhak mendapatkan nafkah dan tempat tinggal. Dari Fatimah binti Qais dari Nabi s.a.w mengenai perempuan yang ditalak tiga, kata Rasulullah, dia tidak berhak tempat tinggal dan tidak pula nafkah. (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)


Adapun firman Allah dalam surah at-Talaq ayat 6, kata mereka hanya terhadap wanita dalam iddah rajiyah.


Bagi wanita yang beriddah disebabkan kematian suami, mereka tidak mempunyai hak sama sekali walaupun hamil kerana diri dan anak yang dikandungnya sudah mendapat hak pusaka daripada suaminya yang meninggal.

"Janda hamil yang kematian suaminya tidak berhak mengambil nafkah."

(Riwayat Daruqutni)

0 ulasan:

Laman Sahabat

Bicara UKHUWWAH

ShoutMix chat widget

Followers

About Me

Foto Saya
ibnu qais
Dilahir di Kampung tercinta di Desa Permai Pagut pada tanggal 18 Mei 1986 pada jam 08.55pm bersamaan 9 Ramadhan 1406 Hijrah iaitu jatuh pada hari Ahad. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Agama (Arab) Al-Ittihadiah Tanjung Pagar, Ketereh.Kemudian melanjutkan ke pengajian menengah di Sekolah Menengah Agama (Arab) Darul Aman, Kok Lanas dari 1999-2002, sekarang dikenali Ma'had Tahfiz Sains Nurul Iman. Setelah itu saya berhijrah ke Sekolah Menengah Agama (Arab) Azhariah, Melor. Setelah tamat, saya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat diploma bidang syariah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS),Kelantan (2005-2008) dan sekarang melanjutkan pengajian sarjana di Universitas Islam Negeri Ar-Raniry, Nanggroe Acheh Darussalam, Republik Indonesia,dalam Fakultas Syariah Jurusan Ahwalul Syakhsiyyah(Hukum Keluarga Islam). Sebarang pandangan emailkan kepada yiez_almaqdisi@yahoo.com @ ibnqais@gmail.com.
Lihat profil lengkap saya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ultimos Comentarios

 
Copyright © Jalan Yang Lurus