Ramadhan kian hampir ke penghujungnya dan suasana di kampung-kampung mungkin telah pun kembali kepada keadaan yang meriah dengan berkumpulnya sanak-saudara. Sebaliknya di bandar-bandar pula semakin lenggang, jalan tidak sesibuk hari-hari biasa, terutama hujung minggu.
Dengan tibanya bulan Syawal tahun ini adalah peluang terbaik untuk kita mengambil kesempatan untuk mengeratkan hubungan yang renggang dan memesrakan ikatan yang sedia ada. Mereka yang muda menghormati yang tua dan yang tua menyayangi yang muda. Segala selisih faham dan persengketaan keluarga atau sahabat hendaklah diselesaikan dan didamaikan.

Setiap orang pasti ada membuat kesilapan dalam hidup ini, termasuklah diri kita sendiri. Malah ada juga perkara yang kita sangka betul tetapi sebaliknya menyinggung atau menyakiti orang lain.
Masa terus beredar dan umur kita akan terus meningkat malah bilakah kita akan mengembuskan nafas terakhir pun tidak ketahui. Kesalahan dan dosa kita dengan Yang Maha Esa boleh kita memohon maaf terus kepadaNya. Bagaimana dengan kesalahan kita sesama manusia apabila orang yang berkenaan telah meninggal dunia?
Oleh itu janganlah bertangguh untuk meminta maaf, janganlah menunggu hari raya sahaja baru nak bermaafan. Malah kita patut sentiasa memaafkan semua orang yang berada di sekeliling kita tanpa menunggu mereka datang kepada kita.
Semoga Syawal kali ini akan memberi kita satu keinsafan dan dapat membawa kehidupan kita yang lebih bermakna. di kesempatan ini, saya ingin memohon maaf jika ada sebarang penulisan di sini yang secara langsung atau tidak langsung yang kurang disenangi. Walaupun begitu terima kasih kerana menjadi pembaca blog ini.Tidak dilupakan buat sahabat-sahabatku serta insan yang ku sayangi ibu dan ayah dan si dia (NF)... Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Zahir Batin.
0 ulasan:
Catat Ulasan